Selamat Datang Ke Web Rasmi SPMM USIM

Web Rasmi Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Madrasah Al-Qaradhawi

Membudayakan pengajian bertalaqqi di kampus

Selamat Menempuh Semester Baru

Mulakan semester baru dengan keazaman yang jitu dan tajdid semula niat kita.

Saturday, February 11, 2012

Pergolakan Syria Isu Sejagat



Bumi Anbia', Syria terus bergolak apabila regim Basyar Assad menggunakan kekerasan tentera untuk mempertahankan kekuasaannya yang tergugat rentetan dari revolusi ‘Arab Spring’. Isu ini terus menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa dengan bantahan daripada 107 orang ulama termasuk Pengerusi Kesatuan Ulama' Sedunia, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Barisan ulama' itu telah bersetuju dalam satu deklarasi yang menyeru seluruh rakyat untuk mendokong perjuangan rakyat Syria untuk bebas daripada regim Bashar Assad, bergabung dengan lebih 40 ribu tentera Syria yang berpaling tadah daripada regim Bashar Asad,serta menyeru negara-negara Arab  dan negara Islam lain untuk bertindak dalam isu ini.

Pergolakan di Syria dilihat sebagai isu yang begitu parah apabila meletusnya demonstrasi berdarah selama 11 bulan di negara itu menyaksikan angka kematian mencecah 6 ribu orang dan jumlahnya semakin meningkat hingga kini.

Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, USIM sentiasa konsisten dalam usaha untuk memastikan warga mahasiswa/i cakna dalam isu membabitkan dunia Islam khususnya pergolakan di Syria yang berlaku sekarang.
Justeru, pihak Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, USIM menyeru seluruh mahasiswa/i untuk:

1. Mengadakan solat hajat dan berdoa bagi memohon keamanan di bumi Syria
2. Menggiatkan kempen cakna isu Syria di laman sosial seperti Facebook, blog dan Youtube

SPMM USIM juga akan akan terus berhubung dengan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung isu Syria khususnya keselamatan pelajar Malaysia di sana.

Mohamad Razif Mohamad Fuad
Setiausaha Agung,
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia,
Universiti Sains Islam Malaysia
www.raziffuad.com

Monday, February 6, 2012

Perutusan Maulidur Rasul Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM)

MAULIDUR RASUL : SERLAHKAN KECINTAAN DENGAN TINDAKAN





Alhamdulillah, segala puja dan puji kepada Allah Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad SAW, para sahabat dan kaum kerabat baginda, serta yang bersama dalam perjuangan dakwah baginda hingga Hari Kebangkitan

Saban tahun, umat islam khususnya di Malaysia akan meraikan sambutan kelahiran junjungan besar Muhammad s.a.w, penghulu sekalian nabi, rasul dan manusia. Ceramah, perarakan, acara berselawat dan berzanji menghiasi hari kelahiran baginda s.a.w pada 12 Rabi’ul Awal walaupun masih terdapat khilaf (perbezaan) ulama dalam penentuan tarikh lahir sebenar. Namun perkara itu tidaklah menjadi satu perbezaan sehingga boleh membawa perpecahan. Bahkan, terdapat sebahagian masyarakat yang meraikan sambutan Maulidur Rasul di hari-hari yang lain.

Friday, January 27, 2012

Kempen 'Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam' Satu Penghinaan Buat Islam






Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan kempen 'Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam' yang dilancarkan oleh Kelab Taat Suami baru-baru ini. Kempen itu dilancarkan pada 25 Januari sehingga 5 Februari bersempena sambutan Maulidurrasul 1433H.

Memetik kenyataan Setiausaha 1, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM, Mohamad Razif Mohamad di blognya, "Hakikatnya, begitu banyak yang boleh diketengahkan dari Nabi SAW baik sebagai tokoh dalam bersahabat, tokoh dalam kepimpinan, juga tokoh dalam berkeluarga. Mengapa 'tokoh seks' dipilih? Seakan-akan seks itu adalah matlamat paling utama dan segala-galanya bagi Islam"

Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM, Muhamad Farid Hadhari ketika dihubungi berkata, "Rasulullah merupakan insan yang telah dimuliakan oleh Allah, dan nama baginda sendiri bermaksud 'yang terpuji'. Perbuatan menghina dan merendah-rendahkan Baginda bererti menghina dan merendah-rendahkan Allah. Maka siapa kita yang menghina Rasulullah kalau Allah telah memuliakannya? Jika benar ingin membuat kempen tentang Baginda Rasulullah, adakan dialog atau seminar tentang siapa sebenarnya Muhammad SAW, kehidupannya dan sebagainya, barulah mengetahui siapakah Rasulullah sebenarnya."

Monday, January 16, 2012

Masa dan Keilmuan


-Saya meluncurkan perkongsian dengan konsep kebebasan menulis... (a.k.a tulis ikut suka)
Merancang untuk menulis di dalam musim peperiksaan akhir semester merupakan satu cabaran.
Di antara membaca buku subjek dalam semester, dan buku yang membangunkan akal dan jiwa.
Di antara menulis nota-nota kecil, dan menulis berkongsi rasa zikir dan fikir.
Lalu, saya cuba tekadkan juga, demi melaksanakan misi tahun baru kali ini : paling kurang satu minggu satu artikel di dalam faridfaruqi.com ini.

Moga Allah berkati usaha ini, walaupun hanya seorang yang menatap perkongsian, asalkan malaikat mencatitnya dalam amal kebaikan untuk bekal ke Sana nanti, bi iznillah..

Saya memerhatikan, di celah usaha-usaha yang ingin dijalankan ini, ternyata dua perkara yang perlu digunakan dengan sebaiknya. Soal masa dan ilmu. Kedua-dua perkara ini menjadi hambatan harian saya, di antara memanfaatkan masa dengan gerak kerja seharian, dan aspek keilmuan yang perlu dimuatkan dalam benak fikiran dan menatijahkan tindakan yang rasional.

Allah mengurniakan ruang masa untuk kita manfaatkan dan menunaikan hak-hak yang perlu dilunaskan. Cukuplah dengan beberapa qasam yang Allah nukilkan di dalam al-quran, menceritakan betapa peri penting manusia untuk menjaga baki masa yang ada. Namun, malangnya satu penyakit yang merasuk di dalam diri manusia yang mengakibatkan masa berlalu begitu sahaja. Tidak lain dan tidak bukan: TANGGUH.


Sikap ini merompak nilai manusiawi insan. Bukan setakat yang memakai tali leher, lebai-lebai juga tidak terlepas daripada dirompak oleh anasir TANGGUH ini. Teringang-ngiang pesanan naqib saya dahulu tentang masa. Katanya: kalau kita ada kerja di saat itu, jangan tangguhkan walaupun seminit. Kerana seminit selepas itu akan bertambah kerja lain yang perlu kita selesaikan.
Namun, saya masih bertatih menunaikan wasiat naqib itu.

Masa itu bukan emas, masa ialah kehidupan. Satu saat berlalunya masa, tidak dapat ditebus walau dengan duit berjuta-juta.

Seterusnya, Allah juga menukilkan berkenaan kepentingan ilmu. Jelas dilihat di saat wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah s.a.w, menjadi simbolik keutuhan islam itu perlu didasari dengan tiang seri ILMU. Menyuluh gelap pekat kejahilan manusia untuk menarik mereka keluar menuju jalan yang lurus dan suci. Allah mengurniakan akal fikiran yang sihat untuk dimanfaatkan dengan menekuni sumber keilmuan dari telaga-telaga ma'rifat sambung terus kepada wahyu Ilahi. Teringat pesan murabbi dan guru kami berkenaan dengan ilmu ini, katanya bahawa manusia berilmu ini hidupnya pasti tenang, mereka tidak perlu mengejar dunia kerana dunia singgah di ribaannya dengan mudah.

Namun, saya juga masih merangkak mencapai ruang ilmu yang ada, kalau tidak sampai tahap keilmuan alim ulama sekalipun, cukuplah untuk menghilangkan kejahilan dalam diri.

Maka, saya luncurkan beberapa kisah pedoman, taujihat di perjalanan sebagai seorang pelajar sepanjang zaman.

Imam Al-Zahabi menukilkan dalam kitabnya yang masyhur (Tazkiratul Huffaz) berkenaan dnegan Imam Muhaddith Hammad bin Salamah al-Basri. Beliau merupakan seorang pakar ilmu nahu, lahir pada tahun 91H dan wafat pada tahun 167H. Beliau merupakan orang pertama yang mengarang kitab bersama Ibnu Abi 'Arubah. Seorang tokoh yang sangat berpegang teguh dengan sunnah dan ahli ibadah yang tersohor.

Seorang muridnya yang bernama Abdul Rahman, pernah mensifatkan tuan gurunya dengan berkata, "Kalaulah dikatakan kepada tuan gurunya kamu akan mati esok hari nescaya ia tidak lagi mampu menambah amalannya."

Kata Musa ibn Ismail, "Jika saya katakan padamu, sesungguhnya saya tidak pernah melihat Imam Hammad ketawa, nescaya kamu akan mempercayaiku, beliau sentiasa sibuk samada menyampaikan hadith, membaca, bertasbih atau solat. Waktu siangnya dihabiskan dengan perkara tersebut.

Abu Hilal al-Askari pernah mengatakan, bahawa perkara yang menjadi musuh kepada Imam Hammad ialah waktu makan.

Kisah hebat yang sama dapat dilihat pada Imam Ibnu Jarir At-Tabari.
Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan, bahawa beliau pernah mendengar daripada al-Simsi bahawa Ibnu Jariri mengarang kitab sebanyak 40 muka surat dalam masa sehari. Usaha yang berterusan itu terus sehingga umur 40 tahun.
Diriwayatkan oleh anak muridnya, bahawa apabila anak-anak muridnya menghitung umur gurunya, daripada baligh sehingga kewafatannya (86 tahun), maka natijahnya menunjukkan bahawa Imam Ibnu Jarir menulis tidak kurang 14helaian dalam sehari. Hanya dengan bimbingan dan inayah Allah sahaja manusia sebegini mampu lahir di dalam dunia keilmuan yang menjulang tinggi ketika itu.

Namun Ibnu Jarir tidak terlepas daripada menunaikan hak-hak yang disediakan kepadanya. Qadhi Abu Bakr ibn Kamal yang merupakan anak murid dan sahabaat Ibn Jarir menceritakan kaedah penyusunan masa Ibnu Jarir. "Adalah Imam Ibnu Jarir setelah makan, beliau akan tidur di atas pakaian daripada kain jenis yang lembut dan benangnya pula adalah tebal dan kasar, yang diperbuat dairpada benang kattan pilihan, dipakai ketika cuaca panas bagi menyejukkan badan. Kemudian, beliau bangun solat zuhur di rumahnya, lantas beliau menulis sehinggalah masuk waktu asar, kemudian beliau akan duduk mengajar sehingga waktu maghrib, pengajian fiqh pula disambung selepas waktu isya'. Setelah itu beliau masuk ke rumahnya. Beliau telah membahagi-bahagikan masa untuk kepentingan diri, agama dan masyarakat sebagaimana beliau mewakafkan waktunya kepada Allah."

Allah, saksikanlah bahawa aku ingin menaladani mereka. Permudahkanlah!

Muhamad Farid Hadhari
Presiden,
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia
Universiti Sains Islam Malaysia

Sunday, December 4, 2011

Pelancaran Madrasah al-Qaradhawi


SPMM USIM menjemput seluruh warga USIM hadir pada 8 malam ini (04.12.11) ke Pelancaran Madrasah al-Qaradhawi di DKU FPQS! Penceramah jemputan, Dr Zulkifli al-Bakri, ahli majlis fatwa negeri sembilan & terengganu. Bersama membudayakan suasana keilmuan.

Saturday, December 3, 2011

Hadiah Hijrah






Cermin mata berbingkai hitam yang dipakai ditolak ke pangkal hidung. Bungkusan Munchys Speed Wafer Chocolate dikoyak perlahan. Bismillah. Wafer pertama masuk ke dalam mulut. Liya melemparkan pandangan kosong di hadapan.


Beg sandang yang disilangkan ke bahu kanan ditarik keluar. Liya melepaskan lelah. Ikatan rambut 'ekor kuda' dikemaskan. Jam dipergelangan tangan dilihat. Hampir setengah hari Timesquares dijelajahi. Berseorangan. Ingin melepaskan tekanan peperiksaan. Coca cola yang berada ditangan dihirup rakus. Dahaga! Liya bangun secara drastik dan berpusing kebelakang. Pap! Dia terdorong ke belakang. Air ditangan terlepas lalu tumpah mengenai kasut Convers kesayangannya. Terasa darah menyerbu ke muka. Geram. Mukanya pantas diangkat.

Sunday, November 27, 2011

Peranan Anak Muda Dalam Lembaran Hijratul Rasul


Kedatangan tahun Hijrah 1433 pastinya disambut meriah di Malaysia. Pelbagai program telah diatur oleh pihak masjid, badan-badan kerajaan, swasta dan juga pihak kerajaan bagi meraikan hari kebesaran Islam ini. Hakikatnya, di dalam Islam, Tahun Baru Hijrah bukan sekadar perayaan atau simbolik semata-mata bahkan mempunyai signifikan yang besar kepada ummatnya khususnya belia (anak muda). Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang. Ia mewakili 43 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.

Hijrah telah menunjukkan kepentingan dan keberkesanan peranan dan sumbangan golongan anak muda dalam sesuatu usaha. Apabila golongan anak muda menggunakan potensi akal dan kekuatan untuk tujuan kebaikan, sebesar mana perancangan sekalipun akan dapat menjadi realiti.

Dari peristiwa Hijratul Rasul, dapat diambil beberapa pengajaran yang penting dan berguna buat generasi anak muda kini. Antaranya ialah sikap optimis Saidina Ali. Atas dasar kecintaan dan keyakinan kepada janji Nabi SAW, beliau sanggup menggantikan baginda di tempat tidur baginda . Beliau tidak gentar akan risiko cubaan membunuh Baginda SAW oleh pihak Quraisy kerana beliau optimis terhadap arahan Baginda SAW. Ketika itu, Baginda SAW berkata kepada Saidina Ali bin Abi Talib: “Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.”

Antara ikon anak muda yang menonjol dalam peristiwa Hijratul Rasul ini juga adalah Abdullah bin Abu Bakar. Dalam tempoh 3 hari persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Gua Thur, mereka berdua dibantu oleh Abdullah bin Abu Bakar yang bertugas sebagai perisik untuk membekalkan maklumat kepada baginda mengenai perancangan orang Quraisy Mekah. Beliau akan keluar seawal waktu sahur dan akan pulang ke Gua Thur setelah larut malam.

Sesuatu yang menarik pada Hijratul Rasul, terselit juga dalam lipatan sejarah mengenai sosok wanita yang begitu berjasa kepada Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Beliau adalah Asma’ Binti Abu Bakar, anak kepada Saidina Abu Bakar. Dalam peristiwa hijrah ini, keberanian luar biasa Asma' terserlah tatkala beliau memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahnya dan Baginda SAW di saat nyawa mereka beruda diancam oleh pihak Quraisy. Asma' mengembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar dengan tujuan jejaknya akan terhapus oleh kambing yang digembalanya.

Di samping itu, sumbangan Amir bin Fuhairah juga tidak dikesampingkan. Beliau diarahkan untuk membawa kambing-kambing gembalaannya di sekitar Gua Thur untuk menghilangkan kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakar dan Asma’ Binti Abu Bakar yang sentiasa berulang-alik antara Mekah-Gua Thur.

Memetik tulisan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di dalam bukunya “Hijratul Rasul: Iktibar dan Hikmah”, beliau ada menyebut, “Demikianlah kalau kita perhatikan mereka yang bersama sebilangan besar adalah remaja (anak muda). Mereka tidak membuang masa dengan perkara yang membuang masa.”

Mujasyi’ bin Mas’ud al-Sulami berkata, “Aku pernah menemui Nabi SAW untuk berbai’ah kepadanya atas Hijrah. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, akan tetapi berbai’ahlah atas Islam, jihad dan kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebut, “Hijrah yang paling mulia telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda Rasulullah, maka Rasulullah mengingatkan kepada kita agar terus melakukan ketaatan kepada agama Islam, melakukan jihad, dan seluruh amalan kebaikan, dan Baginda bermaksud : Aku menyeru kepadamu agar melakukan perkara-perkara (kebaikan) ini"

Apa yang pasti, tiada lagi hijrah selepas Hijratul Rasul. Namun, tidak mustahil untuk gerakan anak muda masa kini melakukan ‘hijrah’ dalam usaha melahirkan ikon seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Asma’ binti Abu Bakar, Abdullah bin Abu Bakar mahupun Amir bin Fuhairah. Hijrah membuktikan anak muda mampu menyumbang untuk agama dan pastinya untuk Negara.

Sewajarnya semua pihak perlu menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti negara banyak bergantung kepada potensi anak muda. Bersama idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang ada pada mereka, sejarah dunia juga mampu dirubah. Usah diperkecilkan suara anak muda!

Firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
(Surah Al-Baqarah: 218)